Sunday, November 23, 2008

Laluan Tasik Kenyir - Kg. Gusai, Hulu Tembeling

Hasil dari kejayaan XPDC Jejak Mat kilau 2005 Tn. Hj. Mohd Zaharani Omar sekali lagi menjemput aku menyertai program XPDC keduanya iaitu mengikut laluan yang lain (laluan Tasik Kenyir - Kuala Tahan). Laluan ini juga pernah digunakan oleh pahlawan terbilang Mat Kilau. Seperti biasa aku ditugaskan merakam aktiviti menggunakan kamera dan handycam dan satu lagi tugas ialah menyelaraskan menu masakan harian peserta XPDC. Segala urusan awal program telah diuruskan oleh Tn. Hj. Mohd Zaharani selaku ketua xpdc. XPDC kali ini telah mendapat kerjasama daripada PERHILITAN, KETENGAH, JHEOA KEKWA TOURISM MALAYSIA dan TERENGGANU FM serta dinaungi oleh YAB Dato' Seri Idris b. Jusoh Menteri Besar Terengganu waktu itu.
Peserta terdiri daripada 21 orang pelajar SMKA Wataniah Besut, 6 orang wakil daripada Majlis Belia Daerah Besut, 3 Renjer PERHILITAN Terengganu, 1 orang Pegawai perubatan, 2 orang jurupandu arah orang asli dan 3 orang guru pengiring termasuk aku sendiri. Sepanjang pengetahuan kami laluan ini adalah merupakan laluan yang sukar dan hanya digunakan oleh orang asli dan pencari kayu gaharu sahaja.

24 MEI 2007 (KHAMIS- Hari 1)
Jam 11.00 pagi pelancaran peringkat sekolah telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Nawi B. Mohamad ADUN Hulu Besut merangkap Pengerusi PIBG SMKA Wataniah. Jam 12.30 petang peserta bertolak ke Tasik Kenyir dengan menaiki bas sekolah dan sampai lebih kurang jam 2.30 petang di Tasik Kenyir.
Sementara menunggu Ketua XPDC aku mengarahkan semua peserta menyiapkan khemah kerana malam ini kami akan bermalam di Tasik Kenyir. Ketika inilah kamera aku jatuh terhempas di atas jalan, nasib baiklah tiada sebarang kerosakan berlaku. malam itu para peserta diperkenalkan dengan 3 orang renjer PERHILITAN dan 2 orang jurupandu arah asli yang akan mengiringi kami nanti. Taklimat disampaikan kepada para peserta berkaitan dengan xpdc termasuklah persediaan mental dan setiap peralatan logistik disemak semula. Renjer PERHILITAN telah membawa selaras 'shortgun' bagi mengawal peserta xpdc daripada serangan binatang buas. Untuk memudahkan perhubungan dengan pihak luar sebuah telefon satelit disewa khas dari Kuala lumpur. Terengganu FM telah memberi laluan khas kepada ketua xpdc untuk membuat laporan secara lintas langsung setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga jam 9.00 pagi.

25 MEI 2007 (JUMAAT - Hari 2)
11.15 Pagi, pelancaran XPDC telah disempurnakan oleh YB Dato' Din B. Adam EXCO Kebudayaan, Belia Dan Sukan dan Badan NGO Terengganu.









Jam 12.30 petang peserta bertolak menaiki bot laju yang disediakan oleh KETENGAH menuju ke Kuala Sungai Terenggan. Di dasar tasik yang kami lalui ini mungkin merupakan sebahagian daripada laluan pejuang tersohor Mat Kilau. Jam 2.00 petang selepas kami makan tengah hari kami mula meredah hutan Sungai Terengganu. Aku ditugaskan dibahagian belakang memantau pergerakan peserta. Destinasi kami pada hari ini adalah Sungai Pering kami perlu sampai ke situ sebelum senja. Laluan kami agak sukar kerana tiada trek laluan manusia sebahagian tempat jurupandu terpaksa mencantas anak-anak pokok dan sebahagian lagi kami melalui lorong laluan binatang. Setelah 2 jam meredah hutan kami bertemu kembali dengan Sungai Terenggan di mana tempat kami mula-mula memulakan perjalanan tadi. Pokok yang ditanda sebagai pengenalan menunjukkan bahawa kami harus bermula semula. Masa 2 jam berlalu begitu sahaja. Aku bersithgfar di dalam hati, sepanjang aku meredah hutan belum pernah perkara seperti ini terjadi. Selepas mengadakan perbincangan dengan jurupandu dan renjer PERHILITAN kali ini peta dan kompas satelit digunaakan digunakan. Semua peserta reda dan mengambil pengajaran dari peristiwa itu. Perjalanan terpaksa diteruskan. Jam 5.30 petang kami diarahkan berhenti dan gagal tiba di Sungai Pering mengikut rancangan. Malam itu kami bermalam di Sungai Terenggan. Selepas siap memasang khemah aku mengarahkan beberapa orang peserta yang disenaraikan dalam tugasan memasak pada hari pertama membantu aku dalam menyiapkan makanan. Semua peserta tidur seawal jam 9.00 malam.

26 MEI 2007 (SABTU - Hari 3)
Selepas sarapan aku merakamkan beberapa keping gambar menggunakan kamera SLR dan handaycam। 8.30 pagi cabaran seterusnya adalah Sungai Pering, situasi hari ini amat berbeza kali ini kami terpaksa menyusuri Sungai Pering yang berbatu batan licin. Perjalanan terpaksa diperlahankan bagi menjaga keselamatan diri. Hari ini kekuatan mental dan fizikal peserta benar-benar teruji kerana terpaksa menyeberang Sungai Pering sebanyak 33 kali bagi mengelakkan peserta berjalan di atas bukit yang jarak perjalanannya lebih jauh. Jam 6.30 petang kami tiba di tempat perkhemahan di hulu Sungai Pering yang sempit. Kebanyakan peserta telah siap memang hammock di atas pokok yang dibuat secara bertingkat"double decker" agar jarak antara peserta tidak terlalu jauh antara satu sama lain bagi menjamin keselamatan. Selepas makan malam hujan turun dengan lebatnya hampir setengah jam.




27 Mei 2007 ( AHAD - Hari 4)

Jam 8.30 pagi, Ketua XPDC (Tn. Hj. Mohd Zaharan Omar) menghubungi Terengganu FM memberi laporan melalui telefon satelit. Perjalanan pada hari ini adalah yang paling mencbar "trekking" terpaksa dilakukan di atas permatang bukit kerana paras air Sungai Pering naik disebabkan hujan semalaman. Kesempatan meredah permatang bukit memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan hutan dara yang belum terusik dek arus pembangunan. Menjelang tengahari kami bertemu Sungai Kenering, hari ini kami hanya menjadikan biskut dan buah kurma sebagai alas perut, ini disebabkan kami tidak berkesempatan untuk berhenti lama. Perjalanan sepanjang Sungai Kenering meninggalkan kenangan yang cukup berbeza, peserta menyusuri sungai sepanjang perjalanan dan beberapa jam berjalan di lurah bukit bukau yang berbatu. Jam 1.30 petang peserta sampai di penghujung Sungai Kenering. Cabaran di hadapan adalah Bukit Cik Hassan, Bukit yang memisahkan sempadan Terengganu dan Pahang. Selepas hampir 3 jam mendaki kami tiba di puncak jam 4.30 petang. Disini terdapat batu sempadan yang tertera tulisan 'Pahang dan Terengganu'. Peserta kemudian menyusuri sebuah anak sungai yang tidak diketahui nama sama ada oleh renjer PERHILITAN atau pun Jurupandu arah orang asli yang akhirnya kami menamakannya "Sungai Tak Bernama". Disini kami tidur di atas "hammock" kerana tidak mempunyai sebarang tebing yang berpasir. Mengikut catatan perjalanan pada hari ini bermula dari Sungai Kenering, Sungai Pering dan Sungai Tak Bernama peserta telah menyeberang sungai sebanyak 63 kali.


28 Mei 2007 (Isnin hari ke 5)
Jam 8.30 pagi memulakan perjalanan menyusuri 'Sungai Tak Bernama' sehingga jam 11.30 pagi dimana akhirnya sungai ini bertemu dengan Sungai Kenering (Bukan Sungai Kenering di Taman Negara Terengganu). Jam 2.00 petang kami berhenti rehat untuk makan tengahari di Kuala Sungai Kenering yang bertemu dengan Sungai Reh. Kami meneruskan perjalanan sehingga jam 5.00 petang dan kami mengambil mengambil keputusan untuk bermalam di tebing Sungai Reh. Pada petang itu seorang peserta/pelajar menghampiri aku dan menyatakan rasa seakan hendak demam dan pening kepala, selepas memberi ubat dan mengurut bahu aku meminta pelajar itu berehat. Tidak aku nafikan kalau ada setengah-setengah peserta kekejangan urat kerana perjalanan hari ini betul betul memenatkan. Disesetengah tempat kami terpaksa menyeberangi sungai menggunakan tali kerana arus sungai yang deras dan disetengah tempat kami terpaksa menjunjung beg galas. Mengikut catatan hari ini kami telah menyeberangi sungai Kenering dan Sungai Reh sebanyak 67 kali.


29 Mei 2007 (Selasa hari ke 6)
Jam 8.30 pagi ketua XPDC Tn. Hj. Mohd Zaharani Omar menghubungi Terengganu FM untuk memberi laporan secara lintas langsung tetapi gagal kerana tapak perkhemahan dilindungi kanopi pokok yang menghalang isyarat satelit. Perjalanan hari ini banyak melalui permatang bukit kerana faktor air sungai yang dalam disebabkan oleh hujan lebat semalaman. Hari ini kami meninggalkan Sungai Reh dan bertemu dengan Sungai Sepia yang bersambung dengan Sungai Hulu Tembeling yang bakal kami temui di Kampong Gusai. Saya terpegun dengan keindahan pemandangan di sepanjang Sungai Sepia. Pada pengamatan saya Sungai ini merupakan sungai yangn tercantik berbanding sungai sungai yang telah kami laluisebelum ini. Jam 6.30 petang kami mengambil keputusan bermalam di tebing Sungai Sepia yang indah ini.


30 Mei 2007 (Rabu hari ke7)

semua peserta menyanyikan lagu Negaraku dan Zikir Asma Al-Husna sebelum memulakan perjalanan jam 8.30 pagi. Perjalanan begitu jauh bagaikan tiada kesudahan. Beberapa orang peserta mula demam dan sakit. Jam 6.00 petang kedengaran enjin bot menyusuri Sungai Sepia. Semua peserta menampakkan kegembiraan kerana menandakan kami telah sampai ke destinasi terakhir kami iaitu Kampung Gusai. Jam 6.15 petang semua peserta selamat keluar dari Taman Negara Pahang. Ketibaan kami disambut mesra oleh penduduk kampung yangg telah melihat pelancaran ekspedisi di Tasik Kenyir melalui Berita di TV1 pada 25 Mei 2007 yang lalu.

*catatan..

Kampung Gusai merupakan salah satu perkampungan tradisional yang terletak di Hulu Tembeling. Penduduknya lebih kurang 300 orang dan perhubungan luar hanya menggunakan bot. Perkerjaan utama penduduk disini ialah menoreh getah, mencari kayu gaharu serta menangkap ikan. Terdapat sebuah sekolah dengan bilangan murid seramai 38 orang.


31 Mei 2007 (Khamis, hari ke 8)

Peserta tinggal di Kampung Gusai selama dua malam. Di sini pelbagai aktiviti dilakukan seperti program ramah mesra, membaca Yaasin, solat hajat dan tahlil. Peserta ekspedisi diberi penghormatan mengetuai solat jemaah di masjid. Selain itu program motivasi kepada murid-murid sekolah Kampung Gusai dan Ibubapa mereka diberikan oleh ketua ekspedisi. Sebelah petang, perlawanan persahabatan bola sepak dan sepal takraw diadakan diantara peserta ekspedisi dengan pemuda-pemuda Kampung Gusai.


1 Jun 2007 (Jumaat, hari ke 9)

Jam 8.30 pagi peserta dibawa dengan sembilan buah bot ke Kampung bantal. Jam 9.30 pagi kami tiba di Kampung Bantal untuk menukar kepada dua buah bot yang lebih besar. Jam 1.30 petang kami sampai di Kuala Tahan. Peserta telah melapor diri di Ibu Pejabat Taman Negara Kuala Tahan bagi mengakhiri episod ekspedisi. Majlis penyampaian sijil kepada peserta telah disampaikan oleh Penguasa Taman Negara..

Jam 6.00 petang peserta bersiap sedia untuk bertolak pulang....