Wednesday, September 8, 2010

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri


Terlebih dahulu saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada sahabat handai sempena hari yang mulia ini, seandainya ada tersasul tutur bicara dan tersilap tingkah laku.... ampun dan maaf jua diminta dari anda semua.

Thursday, September 2, 2010

Lailatul Qadar Malam Istimewa

Ada satu malam rahsia yang amat istimewa pada Ramadhan tetapi waktu sebenar berlakunya malam itu dirahsiakan oleh Allah SWT daripada pengetahuan manusia. Pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit.

Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan. Lebih istimewa adalah ibadat seorang hamba Allah pada malam itu digandakan sehingga menyamai nilai ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan atau selama 83 tahun empat bulan seperti firman-Nya :

"Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr, ayat ketiga)


Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hambaNya yang beribadat seperti sabda rasulullah SAW:

"Barang siapa menunaikan ibadat pada malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya" (Riwayat al-bukhari dan Muslim)


Demikianlah antara gambaran betapa istimewanya malam lailatul qadar, suatu malam paling mulia dan berkat yang berlaku hanya sekali dalam 365 hari, setiap tahun.

Justeru Umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi dosa silam.

Amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadhan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati, ibadat tidak sepatutnya pada Ramadhan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.

Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadhan akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah

Sumbangan :
Ustaz Norden Abdullah