Wednesday, March 31, 2010

Mengenang Pahlawan Melayu

Sudah agak lama aku tak buat sebarang post dalam blog ini, bukan di sebabkan kekurangan idea tapi bulan ini agak sibuk sedikit, aku baru saja menghadiri Kursus Pengurusan Pentadbiran yang diadakan di Sutera Beach Resort, Merang Setiu Terengganu dan sekarang ni pula sedang merancang untuk pergi memancing di Tasik Kenyir pada 30 April hingga 2 Mei nanti bersama-sama rakan sekampung..

Dalam kesibukan diri dengan tugas-tugas pejabat aku masih sempat meluangkan masa membaca sebuah novel sejarah perjuangan pahlawan melayu yang dihasilkan oleh Abdul Latip Talib. Bagi aku ianya sebuah novel sejarah yang cukup menarik, kisah perjuangan Mat Kilau dan orang-orang melayu dahulu menentang penjajahan. Sebut tentang Mat Kilau pada tahun 2005 dan 2007 aku pernah menyertai ekspedisi Jejak warisan Mat Kilau. Aku amat berminat untuk mengkaji kisah hidupnya kerana ia hidup dalam dua zaman, zaman sebelum merdeka dan zaman selepas merdeka. Bayangkan bagaimana perasaan diri beliau yang berjuang bermati-matian dengan titisan darah mempertahankan bumi ini dari penjajahan dan akhirnya dapat merasa nikmat hidup dalam erti merdeka...... Bagaimana perasaan diri anda..? Hargailah kemerdekaan ini..

Wednesday, March 10, 2010

Cuti Rehat.. bukan cuti berehat

Selama dua hari aku mengambil cuti, sewaktu menyerahkan borang cuti, bos bertanya kemana aku akan bercuti, aku memaklumkan bahawa aku hanya ingin melawat dan menebas semak samun di kebun getah, dah agak lama aku tak ke sana. Ada orang yang bercuti untuk melepaskan tekanan ditempat kerja dengan melawat tempat tempat menarik seperti ke pulau-pulau atau tempat peranginan diseluruh Malaysia atau bagi yang berkemampuan akan ke luar negara. Bagi aku cukup sekadar untuk melepaskan tekanan dikebun getah, ya ianya merupakan aset untuk aku diwaktu pencen nanti....

Disini aku merasa cukup tenang, lari dari rutin harian ku bukan bermakna lari dari tanggungjawab ku. Boleh dikatakan aku membesar disini, diwaktu kecil dahulu aku pernah datang bersama emak dan ayah, melihat kegigihan emak dan ayah menoreh getah untuk menanggung kami adik beradik ke sekolah... kini ayah dan emak sudah tua dan sudah tidak segagah dulu lagi untuk menyambung bakti dikebun ini. Biar kami adik beradik sahaja yang meneruskan bakti pada kebun ini.

Segalanya sudah cukup banyak berubah, kalau dahulu untuk pergi ke kebun getah kami terpaksa berjalan kaki selama hampir tiga puluh minit dan berakit menyeberangi sungai tapi kini kemudahan jalan sudah tersedia, boleh berkereta sehingga ke kebun.. dikiri kanan semuanya sudah ditanam dengan pokok kelapa sawit hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih mengekalkan tanaman getah.