Wednesday, September 8, 2010

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri


Terlebih dahulu saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada sahabat handai sempena hari yang mulia ini, seandainya ada tersasul tutur bicara dan tersilap tingkah laku.... ampun dan maaf jua diminta dari anda semua.

Thursday, September 2, 2010

Lailatul Qadar Malam Istimewa

Ada satu malam rahsia yang amat istimewa pada Ramadhan tetapi waktu sebenar berlakunya malam itu dirahsiakan oleh Allah SWT daripada pengetahuan manusia. Pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit.

Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan. Lebih istimewa adalah ibadat seorang hamba Allah pada malam itu digandakan sehingga menyamai nilai ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan atau selama 83 tahun empat bulan seperti firman-Nya :

"Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr, ayat ketiga)


Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hambaNya yang beribadat seperti sabda rasulullah SAW:

"Barang siapa menunaikan ibadat pada malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya" (Riwayat al-bukhari dan Muslim)


Demikianlah antara gambaran betapa istimewanya malam lailatul qadar, suatu malam paling mulia dan berkat yang berlaku hanya sekali dalam 365 hari, setiap tahun.

Justeru Umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi dosa silam.

Amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadhan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati, ibadat tidak sepatutnya pada Ramadhan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.

Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadhan akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah

Sumbangan :
Ustaz Norden Abdullah

Saturday, July 31, 2010

Beli peralatan kamera secara online

Hasrat untuk memiliki lens kedua akhirnya tercapai, lens Tamron Af 70 - 300 mm F/4-5.6 LD macro1:2 . Kali pertama aku melakukan pembelian secara online dengan nilai harga yang agak besar juga. Perkhidmatan Shashinki.com sungguh cepat, tiga hari selepas membuat pembayaran lens ini telah sampai dan menjadi milik aku.


Dibawah ini gambar yang dihasilkan menggunakan lens ini.


Nikon D70
Lens: 70-300mm F/4-5.6 G
Focal Length: 300mm
Digital Vari-Program: Close Up
Metering Mode: Multi-Pattern
1/250 sec - F/8
Exposure Comp.: 0 EV
Sensitivity: ISO 800



Nikon D70
Image Size: Medium (2240 x 1488)
Focal Length: 300mm
Metering Mode: Multi-Pattern
1/160 sec - F/5.6

Julai

Tiada catatan yang aku post kat blog aku ni, bukan tiada perkara menarik yang berlaku kepada aku. Pertamanya aku dimasukkan ke hospital selama tiga hari kerana gastrik dan terbesar musibah yang menimpa ke atas rumah aku bila dihempap oleh sebatang pokok, nasib baik tiada kecederaan yang menimpa ke atas ahli keluarga. Alhamdullillah semuanya selamat, kerosakan telah dibaiki dengan bantuan dari jiran-jiran dan saudara mara, terima kasih diata sumbangan tenaga mereka semua dan terima kasih kepada YB ADUN atas sumbangan membiayai baik pulih kerosakan.


Wednesday, June 30, 2010

J.O.M.jengok blog ijam

Salah satu blog yang biasa aku kunjung dan sentiasa akan berkunjung ialah blog Noorizamsabran.com. Hmmm.... kenapa aku suka berkunjung blog ini. Aku suka tip-tip dan panduan fotografi yang diberikan oleh Ijam, cara penyampaian yang santai dan disertakan gambar sebagai contoh. Bagi anda yang meminati bidang fotografi aku sarankan berkunjung ke blog ijam untuk mendapatkan tip-tip fotografi.



Entri aku yang terdahulu aku suka fotografi, sebenarnya aku tak perasan akan header saudara Ijam iaitu …saya suka fotografi.

Bila agaknya Ijam nak adakan J.O.M kat Terengganu terutamanya ke daerah Besut

Tuesday, June 29, 2010

Ebook

"Bila abah nak pasang wireless kat streamyx, nanti tak lah Chik ganggu abah punya

Itu antara kata-kata anak aku atas rasa keterujaan dia bila memilik ebook sendiri. Sekarang ni dah dua unit ebook yang telah dimiliki satunya kepunyaan anak aku yang nombor dua (angah) yang baru dapat pula anak nombor tiga (Chik). PC tu dia orang jadikan tempat dia orang install game. Macam-macam game ada, entah dari mana dia orang dapat aku pun tak tau, cuma yang aku sentiasa nasihatkan pandai-pandailah main dan pandai-pandailah bahagikan masa.

Untuk anak yang sulong aku dah janji kalau dapat cemerlang dalam peperiksaan PMR nanti hadiahnya sebuah laptop.




Aku suka Fotografi

Bila ditanya apa yang paling aku minat, sudah tentulah jawapan aku ialah bidang fotografi. Bukan bermakna aku seorang jurufoto yang hebat. Aku suka melihat foto-foto yang cantik dan menarik, tentang fotografi ini aku masih lagi banyak belajar, belajar dari pengalaman dan dari mereka yang berpengalaman termasuklah melawat website-website atau blog yang menceritakan tip atau teknik untuk menghasilkan foto yang menarik.

Aku pernah menghadiri kursus asas fotografi, seingat aku awal 90an masa tu aku pakai Nikon FM2. Sekarang semuanya digital, sesiapa sahaja boleh merakam gambar. Apa yang penting kreativiti dan sedikit ilmu.... kalau nak lagi cantik dan menarik, kena belajar, belajar dan terus belajar.

Untuk bercerita tentang tip dan teknik ni aku tak pandai tapi banyak website dan blog yang anda boleh jadikan rujukan dan aku cadangkan satu untuk anda lawati iaitu Noorizamsabran.com yang lain tu anda boleh google sendiri

Dibawah ini satu contoh gambar yang aku rakamkan dengan menggunakan kamera Nikon D70


Nikon D70
2010/06/27 03:53:46.7
JPEG (8-bit) Normal
Image Size: Medium (2240 x 1488)
Lens: 18-70mm F/3.5-4.5 G
Focal Length: 52mm
Exposure Mode: Programmed Auto
Metering Mode: Multi-Pattern
1/60 sec - F/4.5
Exposure Comp.: -0.3 EV
Sensitivity: ISO 200

Tuesday, June 22, 2010

Kisah Sikucing 2

Hari ini aku bernasib baik kalau tiada kucing ini


tak tahu apa akan jadi pada diri aku. Agaknya mungkin tidak sempat sampai ke hospital aku sudah tertidur. Kucing ini telah menyelamatkan aku dari dipatuk oleh ular senduk sebesar ibu jari kaki. Aku tidak menyedari seekor ular senduk sedang mengembangkan kepalanya cuma menanti masa untuk mematuk betis aku nasib baiklah kucing aku ini sempat menepis kepala ular senduk.

Kucing ini sentiasa mengikuti aku atau anak aku bila berjalan disekitar kawasan rumah, berlari kesana ke mari galaknya bukan main. Hari ini kucing ini telah membuat jasa yang amat besar kepada aku. Jasa yang tidak ternilai....

Monday, June 21, 2010

Mereka Insan Yang hebat

Pengorbanan seorang bapa untuk membesarkan anak-anak terlalu tinggi dan tidak ternilai. Kadang-kadang kita dikejutkan dengan berita-berita yang membuatkan hati kita sebak, cerita seorang anak yang membuang dan meninggalkan ibu atau bapanya di rumah orang-orang tua. Dimanakah nilai kita sebagai seorang anak yang dibesarkan dari sebesar ibu jari sehinggalah dewasa diberikan tubuh badan yang yang sihat tenaga yang kuat. Kenapa tidak sanggup berkhidmat untuk ibubapa sehingga ke akhir hayat mereka

Bila menjadi seorang bapa aku sedar tugas yang pikul bukanlah senang tetapi sudah menjadi tanggungjawab, tanggungjawab yang harus dilaksanakan dalam memastikan kecemerlangan anak-anak. Memenuhi tuntutan anak-anak mungkin inilah apa yang ayah aku lakukan dalam membesarkan kami adik beradik seramai lima orang.

Ayah aku dilahirkan di Kampung Padang Mokkan, Peringat Kota Bharu Kelantan pada 29hb Mac 1929 itu yang tertera pada Kad Pengenalannya tapi kata ayah dia lahir lebih awal lagi, waktu hendak buat surat beranak dulu pegawai pendaftaran pakai tengok wajah dan susuk tubuh sahaja. Zaman remaja ayah aku banyak dihabiskan dengan belajar agama dari pondok ke pondok. Pernah belajar di pondok Padang Kala dan beberapa pondok sekitar Kelantan dan akhirnya di awal tahun 1950an sampai ke Daerah Besut dan berguru dengan Allahyarham Tuan
Haji Abdul Latif di Pondok Almadrasah Wataniah Alor Keladi yang akhirnya menetap di sini. Sebagai seorang yang telah mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan agama, ayah diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk mengajar agama kepada murid-murid yang baru.

Waktu kami masih kanak-kanak dan di awal usia belasan, ayah pantang kalau kami adik beradik lewat sembahyang, pernah kami disiram air bila kami susah untuk bangun sembahyang subuh.
Akulah yang paling banyak mengikuti ayah dari surau ke surau, waktu itu ayah dilantik oleh pejabat agama sebagai pembantu pelawat untuk mengajar agama di surau-surau dan madrasah disekitar kampung berhampiran. Ayah juga pernah dilantik sebagai Imam masjid tapi sekarang ayah sudah tua, kata ayah usia dia mungkin sudah 86 tahun, sudah tidak larat lagi, masa ayah sekarang banyak dihabiskan dengan membaca kitab-kitab agama itu hobi dia dari dulu lagi.
Membantu orang-orang yang perlukan pertolongan seperti orang yang kena sampuk, terkena buatan orang, anak-anak yang degil dengan bacaan ayat-ayat suci AL-Quran.

Kami adik beradik memang tidak dapat menandingi ayah dari segi ilmu agama, ayah menjadi tempat rujukan bagi setengah orang. Aku pula dikatakan banyak mewarisi sifat datuk, suka pada hutan. Datuk suka mencari petai di hutan pada zaman dulu waktu dia muda, itu cerita orang kampong. Kata orang datuk akan mengejar harimau bila terdengar atau ternampak
harimau...Dengar cerita, katanya seorang yang hebat di zaman muda.

Arwah datuk meninggal pada tahun 1998 pada usia 103 tahun

Mereka insan yang hebat dalam hidup aku

p.s. Entri ini sepatutnya aku post semalam sempena hari bapa tetapi apakan daya line
streamyx rumah aku meragam semalam

Sunday, June 13, 2010

Aku Tak Hilang Arah lagi

Sebenarnya aku bukan hilang arah dalam menulis di blog ni cuma seminggu dua ini aku jadi terlalu sibuk, sibuk untuk menuilis dalam diari online aku ini. Musim cuti ni musim kenduri terpaksa berkejar kesana kemari, ke rumah sanak saudara memenuhi undangan.

Bila anak anak cuti sekolah mereka ingin balik ke rumah datuknya (mertua aku) kesempatan ini aku gunakan untuk melihat dan menebas semak samun di kebun.

Pulang dari kebun aku memenuhi tuntutan anak-anak yang ingin mandi sungai. Air sungai yang sejuk dan jernih tanpa pencemaran. Harap-harap ianya akan berkekalan begini tanpa sebarang pencemaran di masa akan datang untuk generasi anak cucu merasainya.

Thursday, May 27, 2010

Senyuman mu manis disebalik topeng muka

Sampai saja ke rumah dari tempat kerja semalam (kelmarin) tiba-tiba aku rasa dada aku sesak dan terasa kesukaran untuk bernafas, hidung pula kembang kempis mencuba sedaya upaya untuk bernafas, Aku menjerit kepada isteri aku memaklumkan aku ingin ke hospital, melihat keadaan aku yang seakan hilang imbangan badan isteri ku memapah aku ke dalam kereta. Bila berada di dalam kereta sesak di dada sudah hilang dan sekarang aku terasa pinggang aku pula yang sakit, sakit yang amat sangat sampai aku tidak dapat memalingkan tubuh ku.

"Ada masalah apa encik" Tanya Pembantu Pegawai Perubatan yang bertugas

"Saya rasa sesak nafas dan sukar hendak bernafas tapi sekarang dah ok cuma pinggang pulak terasa sakit"

Pembantu Pegawai Perubatan menyatakan sesuatu kepada Jururawat yang kemudiannya datang membawa bekas ubat dan meminta aku minum.

"Encik sila minum ubat ni dulu" Jururawat itu menyuruh aku minum ubat yang ada didalam bekas. Dari sinar matanya aku tahu jururawat itu sedang senyum walaupun hidung dan mulutnya tersembunyi disebalik topeng muka sambil tangannya menghulur ubat kepada ku.

"Kena minum habis ke ni". jururawat itu menggangukkan kepalanya

"sekejap ya, kita buat tekanan darah"

"tekanan darah encik tinggi sedikit 148/92, mungkin encik terkejut ini yang menyebabkan darah encik naik" Sambil memandang aku, dari sinar mata memang dia sentiasa tersenyum. Warna kulitnya putih aku rasa dia memang cantik, hati aku rasa suka pada dia bukan suka nak jadikan kekasih atau apa sahaja yang sewaktu dengannya tapi aku suka cara layanan dia. Aku jarang terima layanan seperti ini, kebanyakannya dengan wajah yang mencuka. Aku dapat buat anggapan bahawa jururawat ni pun dah kahwin

"Encik ada gastrik tak"

"Memang saya ada gastrik"

"Encik kena jaga makan, encik merokok tak?" aku hanya menganguk saja

"Sekejap ya encik kita buat ECG, Berapa umur encik"

"hmmmm ____" kataku

Selesai membuat ECG jururawat itu dengan sopan menyuruh aku berjumpa dengan Pembantu Perubatan

"Encik tiada masalah jantung, jantung encik ok saja, cuma encik ada gastrik apa yang encik makan tadi" aku menerangkan kepada pembantu pegawai perubatan apa yang aku makan sebentar tadi.

"Encik kena kenal pasti makanan yang encik allergik, Ok encik boleh ambil ubat ini di farmasi" sambil menghulur senarai ubat kepada aku. Selepas mengucapkan terima kasih dan menerima sekeping kertas aku pun beredar dari situ.

"Macam mana dah ok" tanya jururawat itu

"hmm.. ok la sikit"

Waahh, dari garis sinar matanya dan sinaran matanya aku pasti dia sedang memberikan senyuman yang paling manis di sebalik wajah yang bertopeng. Senyuman yang membuatkan sesiapa saja yang sakit akan melupakan sedikit kesakitan.

Tuesday, May 25, 2010

Audit.. oh.. audit

Terencat sedikit rutin harian ku hari ini bila menerima surat dari Pejabat Audit Sekolah.yang menyatakan Pengauditan Penyata Kewangan Bagi Tahun 2009. Nampaknya hari ini aku terpaksa kembali ke tahun lepas ...2009.. Menyemak semula segala dokumen-dokumen yang sememangnya siap tersedia mana tahu takut ada yang tertinggal atau belum ada yang selesai.. Semuanya telah tersedia, siap aku masukkan dalam kotak lagi hanya menanti hari sahaja. Checklist terakhir memang ada dua tiga perkara yang aku belum selesai. Mesti diselesaikan segera, aku dah tak mahu kena tegur oleh audit.

Harap Pengauditan tahun ini lebih baik dari tahun lepas, maklum saja tahun lepas aku sambung tugas orang. Lepas ni aku nak audit diri aku pulak..

Monday, May 24, 2010

Hari Gaji, cuti penggal dan musim buat duit

Nasib baik hari ini merupakan hari gaji kalau lambat sikit rasa-rasanya fuuuhhh ... sebenarnya duit dalam poket dah hampir kering maklumlah bulan Mei ini banyak sikit pakai duit untuk anak-anak sekolah itu perkara biasa tapi bulan ni aku banyak pakai untuk pergi melancong..

Bulan Jun ni lagi banyak duit nak pakai maklum sahajalah masa ni musim cuti sekolah, musim kenduri kendara. Rasa-rasanya dah sampai 30 keping kad undangan untuk majlis perkahwinan saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Pergi tetap kena pergi, hati mereka ini kena jaga. Saudara mara yang jauh kena pergi untuk memenuhi undangan dan yang dekat kena rai.

Kalau suatu masa dulu musim ni lah aku boleh buat duit banyak-banyak dengan merakam gambar persandingan tapi sekarang hanya sedikit sahaja tempahan yang dapat. Sekitar tahun 2003 kebawah, bila sampai je musim cuti sekolah dapatlah lebih kurang RM4000 dalam seminggu. Waktu tu persaingan tak tinggi dan tidak ramai yang melakukan kerja-kerja merakam gambar majlis persandingan, lagi pun waktu tu belum ramai yang guna DSLR.

Musim sekolah ni rancangan anak-anak hendak balik ke rumah datuknya di Setiu (Bapa mertua), tambahan pula aku hendak melakukan kerja kera menebas tanah yang dibeli, niat hatinya untuk ditanam dengan getah.....buat bekal pencen nanti, kebun getah ni la pula akan jadi pejabat aku nanti.

Sunday, May 23, 2010

Apa makna?

Pagi ini dua kejadian menimpa aku sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Kejadian pertama berlaku bilamana aku menghampiri jalan sehala di Pekan Pasir Akar, salah seekor dari sepasang burung gembala kerbau yang sedang terbang merempuh kereta aku. Kejadian kedua berlaku lebih kurang 1 km dari tempat kejadian pertama. Dua ekor kucing yang berkelahi mengejar antara satu sama lain lalu melintas jalan secara mengejut, aku tak sempat menekan brek. Kucing belakang sekali telah merempuh pintu sebelah tempat pemanduan aku dan terpelanting lalu dirempuh oleh sebuah perodua kembara yang berada di belakang. Dari Side miror aku lihat Perodua Kembara itu berpusing semula ke tempat kucing kena langgar.

Memang aku dapat agak apa tujuan dia berbuat begitu, kata orang tua kalau kita melanggar kucing harus kita campak duit syiling di sisi bangkai dia. aku tak tahu betul atau tidak .... aku bukan arif sangat pasal menda-menda macam ni.. Apa pandangan anda tentang perkara ni....?

Friday, May 21, 2010

Tukar template design

Sudah lama aku nak tukar template design blog aku yang sememangnya aku tidak berapa suka. Kalau ikutkan hati, template design blog aku dulu membuatkan aku jadi kurang minat untuk berblog. Godek punya godek, tanya sama pakcik google terjumpalah dengan blog kujie yang menerangkan cara-cara menukar template blogspot dengan design yang lebih cantik, dua tiga jam aku cari template yang sesuai dengan hati aku.

Harap-harap kali ini aku lebih berselera lagi untuk berblog, apa tidaknya template dah ikut selera hati mana tahu nanti terjumpa yang lebih cantik aku tukar lagi...

Rasanya tak perlulah aku terangkan macam mana cara nak tukar design blog. sudah banyak blog yang bercerita tentangnya. Tanya sahaja dengan pakcik google.

Tuesday, May 18, 2010

Bulan Mei

Entri ini sepatutnya aku post semalam tetapi disebabkan sewaktu nak publish post line streamyx pulak yang meragam jadi terpaksalah buat hari ini.

Keadaan demam aku makin baik, Sewaktu melakukan pemeriksaan tekanan darah di Hospital tekanan darah ok 116/74, demam adalah sedikit 37.5 tapi pening ni yang masih belum hilang lagi.

Bulan Mei ni banyak hari istimewa yang kita sambut, sambutan Hari Pekerja (1 Mei) Sambutan Hari Guru (16 Mei) Hari Ibu kalau tak silap 9 Mei, Hari untuk isteri tak ada ke?.. Bagi isteri aku 18 mei merupakan hari lahir dia, tidak jauh jarak dengan tarikh lahir aku iaitu pada 21 Mei dan anak yang nombor dua aku pada 20 Mei dan tarikh perkahwinan kami pula pada 25 Mei. Kalau dahulu kami akan memilih satu tarikh untuk mengadakan majlis sambutan secara bersama, biasanya kami akan memilih tarikh antara 19 dan 20 Mei.... itu cerita dulu, dua tiga tahun kebelakangan ini kami akan buat sambutan di bulan yang lain. Bulan itu sudah tidak sesuai untuk kami mengadakan majlis..... biasanya cuaca akan jadi panas.. rasanya tidak perlulah aku ulas..

Saturday, May 15, 2010

Datang macam ribut

Maaf kali aku tidak dapat menulis panjang pada entri kali ini, Sejak kembali dari trip memancing di Tasik Kenyir, Streamyx kat rumah aku masih lagi belum stabil, talian telefon pulak crossline dengan jiran yang selang beberapa buah rumah tambahan pula kesihatan aku yang tidak stabil

Sudah beberapa hari aku demam, dua hari terpaksa ambil cuti sakit . Hari ini, masih lagi terasa pening.. Anak dan isteri pun dah nampak makin layu, tanda-tanda ni kurang menyenangkan hati, mesti virus ni berpunca dari aku. Betullah kata orang tua, penyakit ni datangnya macam ribut perginya macam semut.

Kepala ni masih pening lagi,esok belum tentu boleh pergi kerja



Monday, May 3, 2010

Trip yang berbaloi

Waah.. dah lama aku tak update blog ni, seminggu yang lalu merupakan minggu yang amat sibuk. 27 April terpaksa menghadiri kursus Pengurusan Perkhidmatan dan Pentadbiran dan 28 April pula Kursus Pengurusan Kewangan dan Akaun Sekolah. Disamping tugas-tugas sebagai warga masyarakat kampong iaitu sebagai Setiausaha JKKK kenalah pula buat mesyuarat bulanan.

Tambahan pula minggu itu talian telefon menghadapi masalah sehinggalah ke hari ini masih lagi belum selesai. Kontraktor TELEKOM telah beberapa kali datang memeriksa punca masalah dan jawapan yang mereka bagi ialah terpaksa menukar kabel lain..fuuuh... harap-harap dapat selesai segera.

Dalam beberapa entri yang lalu aku ada cerita tentang perancangan untuk memancing ke Tasik Kenyir.. Daah... tak nak cakap banyak tengok beberapa keping gambar..biar gambar-gambar ini yang bercerita ... trip kali ini memang cukup berbaloi..
Berhenti sekejap di Hadapan Masjid Kg. Chalok Setiu

Trip kali ini sramai 10 orang, bertolak dari rumah lebih kurang jam 8.30 pagi dan sampai di Empangan Hidro Sultan Mahmud jam 12.00 tengahhari, selesai daftar dan berlepas lebih kurang jam 2.45 tengahari dan Sampai ke destinasi pancingan jam 5.00 petang



Keindahan Tasik Kenyir dengan air yang biru

Rakan-rakan yang begitu ghairah dan teruja, sudah tidak sabar lagi untuk melabuhkan pancingan di dasar tasik

Pemancing-pemancing tegar yang sanggup berjaga sampai pagi



Ni... aku lah ni..toman, entah tak tau berapa kilo, rasa-rasanya adalah dalam 5 atau 6 kilo

Akhirnya inilah hasil tangkapan kami selama tiga hari dua malam di Tasik Kenyir




Thursday, April 22, 2010

Remove Tag

Ini gara-gara Facebook, entah apa ntah tiada kena mengena dengan aku... ikut suka hati dia tag nama aku di gambar tu.. tiap-tiap hari aku kena delete inbox mail aku. Kalau nak promosi bag ke minyak wangi entah apa lagi pun buat lah cara lain usah lah guna cara tag gambar ni.... aku boring woi,

Kalau nak tag biarlah gambar tu yang ada kena mengena dengan aku atau kalau nak promosi juga hantar aje mesej tidak pun post aje di wall aku.. ini yang aku bangang ni. Ni dah di kira SPAM ni

Kamu tag aku remove tag ada faham..

Tuesday, April 20, 2010

Silent Reader

Aku suka jelajah blog, biasanya tiap-tiap hari aku jelajah dua atau tiga blog atau pun kalau aku mempunyai waktu luang yang panjang maka banyak lah blog yang berkesempatan aku kunjungi.

Cuma satu, aku tidak suka memberi apa-apa komen pada blog-blog yang aku kunjungi, aku lebih suka menjadi silent reader. Blog mereka dah baik, mereka ada pendapat sendiri. Pendapat yang bernas mengikut tafsiran diri sendiri, aku setuju itu....

buat apa komen komen blog orang... tapi kalau komen blog orang memang bagus untuk tarik trafik ke blog sendiri, biar ramai pengunjung...

Blog aku .. ntah apa ntah blog ni... Aku selesa begini.... Blog syok sendiri agaknya.

kalau ada blog yang aku tinggalkan komen ialah blog kepunyaan Fazlisyam, itu pun aku tidak tinggalkan url blog aku.... Satu lagi blog biasa aku kunjungi ialah blog Norrizam Sabran, banyak tip-tip untuk rakam gambar.

Apa-apa pun sehingga hari ini aku lebih suka jadi silent reader.


Monday, April 19, 2010

Bila Dah Online

Hari ini terkejut ada gembira pun ada bila terima sekeping surat bercop google di luar sampul, terkejut bercampur berdebar takut kena saman dengan google, tertanya-tanya juga apa salah aku dan kedua gembira mana tahu cek adsense dari google tapi semua sangkaan itu salah. Rupa-rupanya kopun diskaun untuk google adword yang bernilai RM150.00, apa-apa pun tentulah ianya sedikit sebanyak merupakan berita gembira.... itu pun kalau aku hendak buat iklan... tapi apa yang aku hendak iklan ye... kena fikir ni...


Facebook merupakan satu laman web sosial yang paling popular.. aku tak nak ulas apa-apa tentang facebook ni. Dah ramai yang ulas tentangnya, lagi pun apa sangat yang dapat aku ulas. Cuma apa yang dapat aku katakan dan seharusnya aku berterima kasih dengan kewujudan facebook ini aku telah menemui semula rakan-rakan lama yang sama-sama bersekolah dahulu, rakan-rakan lama satu jawatan dan juga bekas-bekas pelajar di sekolah yang terdahulu.

tapi bagi anak aku selain chatting di facebook dengan kawan kawan dia, apa yang di buat ialah maintermasuk ngan aku sekali, seronok juga .... hari in tanam esok tuai






Friday, April 16, 2010

Pucuk Putat Vs Pucuk Serai

Siapa kata bumi Malaysia ini tidak kaya, bumi Malaysia ini tidak subur, susahnya hendak mencari wang di bumi Malaysia ini. Kalau tidak mana mungkin Mat-mat indon, Mat-mat Bangla sanggup meredah lautan untuk mencari kekayaan di bumi bertuah ini....

Hanya mereka yang malas sahaja yang sentiasa memberi alasan dan menunggu untuk di suap..

Maaf ye .. saya hanya hendak cerita tentang mencari rezeki yang halal

Ini kisah isteri aku yang sanggup bertungkus lumus untuk membantu aku bagi mendapat wang tambahan, maklumlah anak makin besar ada yang sekolah menengah, kos sara hidup makin meningkat, nasib baik kami tinggal dirumah sendiri atas tanah sendiri.

Apa kaitan pucuk putat dan pucuk serai dengan cari duit ni...

Alkisahnya macam ni, di belakang rumah aku ni banyak pokok serai kayu dan pokok putat. Anda tentu tahu kegunaan pokok ini, pucuknya dijadikan ulam-ulaman

Biasanya pada sebelah petang isteri aku akan kebelakang rumah untuk mengutip pucuk-pucuk ini. Untuk satu ikat harganya dalam RM0.30 dan akan diambil oleh pemborong pada sebelah pagi keesokkan harinya untuk dibawa ke bandar. Dalam seminggu tiga kali isteri aku akan mengutipnya, kadang-kadang dalam sehari tu dapatlah lebih kurang RM30.00 setelah dicampur dengan daun kesum yang aku tanam di tepi alor

Ada beberapa surirumah di kampungku ini yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan..




Thursday, April 15, 2010

Blog Popular

Hari ini line streamyx rumah aku dah kembali stabil, terima kasih kepada pekerja telekom yang datang baiki.

Anak aku yang sulong, sedang meningkat remaja mula sibuk nak buka facebook, bukannya nak chatting tapi main farmville.

"Wah.. engkau ada blog rupanya. Popularkah blog engkau" kata seorang rakan pada aku petang tadi.

Bila dia tanya macam ni terasa juga aku, maklumlah blog aku ni memang tak popular pun dan kalau boleh aku pun tak nak popular tapi andai suatu hari nanti jadi popular manalah aku tahu. Aku tulis apa saja yang aku suka kat sini tidak lebih sebagai diari online aku, bukan cerita pasal artis dan aku kalau boleh tidak mahu cetuskan sebarang kontroversi.... silap-silap aku yang kena. Bab tulis menulis ni pun aku bukanlah pandai, kira ikut sedap hati

Lagi pun blog aku bukannya blog dot com hanya tumpang di blogspot aje, nantilah suatu masa nanti aku pakai yang dot com pula.

Balik pasal blog popular pula lain lah macam blog kak jie@Kujie. Blog dia tu memang popular, title dia bagus "hidup biar sedap'. Memang hidup ini sedap, tiap kali masuk blog dia mengingatkan aku betapa sedapnya hidup ini. Terima kasih Kak Jie@ Kujie

Wednesday, April 14, 2010

Masalah juga bila tak dapat online

Hampir seminggu talian streamyx kat umah aku meragam kalau dapat online pun tak sampai tiga minit, telefon pun senyap tanpa bunyi apa-apa . Dah tiga kali aku buat laporan, kali pertama kontraktor telekom datang tak jumpa punca kerosakan. Kali kedua datang pun masih belum jumpa juga, kata pekerja kontraktor telekom ni masalah talian. Ada sekali tu masuk talian rumah orang lain.....

hmmmm.. Kena wiring semula, puncanya kena ubah di tiang luar lagi, itu kata pekerja kontraktor telekom

Masalah pada aku bila nak online terpaksa pergi rumah mak aku yang bersebelahan. Agak-agaknya bil kena bayar harga sama, Kalau dapat rebet tak apa.

Sekarang ni masalah bagi aku bila tak dapat online internet .... Kalau dulu langgan akhbar tapi sekarang ni dah terbiasa baca akhbar online bila time tak dapat macam ni rasa lain, rasa macam ada sesuatu yang kekurangan...

Saturday, April 10, 2010

Rasa dan Firasat

Cuti dua hari, Jumaat dan Sabtu aku manfaatkan dengan aktiviti menebas semak samun di kebun getah. Kebun ini agak jauh sedikit ke dalam hutan, kalau dulu sebelum terbinanya jalanraya untuk kesana terpaksa berjalan kaki dan menyeberangi sungai dan perjalanan lebih kurang empat puluh lima minit tapi sekarang semuanya telah menjadi mudah dan cepat, kesan dari pembangunan.

Pada hari Jumaat (kelmarin/semalam) aku dapat merasakan macam ada sesuatu perasaan yang kurang menyenangkan. Aku tidak dapat menjelaskan secara tepat bila adik aku bertanya apabila melihat aku asyik memehatikan ke dalam hutan. Cuma firasat aku menyatakan ada sesuatu di dalam hutan itu dan tidak pasti apa dia, cuma aku menyatakan benda itu adalah sesuatu yang kecil.

Hari ini persoalan itu terjawab apabila seekor anak harimau akar sebesar kucing jantan keluar dari dalam hutan dan disusuli pula oleh seekor lagi sebesar anjing yang ku kira ianya pasti adalah ibunya. Kedua dua ekor harimau akar ini mungkin tidak perasan aku sedang memerhatikannya atau sengaja menunjukkan diri pada pandangan mata aku....

Kalau aku bawa kamera mungkin aku dapat merakam visual ini untuk tatapan semua...
Berbalik pada soal rasa atau firasat didalam hutan aku pernah diberitahu oleh jurupandu arah sewaktu aku mengadakan XPDC Jejak Mat Kilau 2005. Apabila kita berada didalam hutan kita dapat merasakan kehadiran binatang liar dengan pelbagai tanda..... ?

Wednesday, April 7, 2010

Hobi

Entri kali ini aku nak cerita pasal hobi aku, yang dah pastinya hobi aku nombor satu adalah memancing. Hobi ini yang kadang kadang tu mendapat tentangan dari isteri aku. Kebiasaannya membebellah ia. Aku ambil jalan singkat untuk tutup mulut isteri aku ni, aku bawa dia sekali pergi memancing.

Satu lagi hobi aku yang sangat berfaedah yang buatkan isteriku senyum. Aku suka tanam sayur tapi tahun ini aku tak menanam sayur... kemarau. Aku anggap hobi ini suatu senaman maklumlah untuk main bola rasanya dah tak larat, hobi ini bermula sejak dari kecil lagi

ada beberapa batang pokok ini yang aku tanam dibelakang rumah

suatu hari tu buah ni masak serentak, adalah dalam tujuh tandan kalau setandan tu biasanya isteri aku buat kek pisang untuk anak-anak makan (maaf ye aku tak makan pisang) ...dah banyak sangat nak makan tak habis, aku bawa pergi kedai roti jual kat sana RM0.70 sekilo, hah.. lepaslah duit minyak.

Satu lagi, tanah yang lapang kat belakang rumah aku, aku tanam


Anak-anak aku suka makan jem nanas ni, tugas isteri aku masak jem tugas aku tanam nanas. Kalau dah banyak sangat biasanya dia simpan dalam peti tunggu musim raya buat tat nanas.. Satu lagi campur dalam gulai ikan kering ... memang cukup lazat, masakan kegemaran aku.






Tuesday, April 6, 2010

Trip Memancing ke Tasik Kenyir

Hasrat hati untuk memancing di Tasik Kenyir nampaknya akan termakbul, InsyaAllah kalau tiada aral melintang pada 30 April ini kami akan ke sana selama dua hari. Perancangnya telah lama dibuat tetapi disebabkan masing-masing terlalu sibuk maka hasrat itu terpaksa dibatalkan sebelum ini. Mengambil kesempatan sempena dengan cuti hari pekerja, pada kali ini, hanya seramai 10 orang sahaja. Awal-awal lagi aku dah bagi kata dua pada rakan-rakan sekampung, aku tak nak sekejap cakap nak pergi dan sekejap berubah hati sebabnya bot telah pun ditempah pada tarikh tersebut. Kali terakhir aku dan rakan-rakan memancing di Tasik Kenyir ialah pada tahun 2008 iaitu di kawasan Sungai Ketiar..

Insya Allah bila pulang nanti saya akan upload gambarnya... sama ada dapat atau tidak yang pastinya kepuasannya



Friday, April 2, 2010

Aku tak nak layan

Mungkin ada diantara anda semua biasa menerima email yang mengatakan bahawa email anda telah terpilih secara rawak dan telah memenangi sejumlah wang cukup tinggi dan minta anda menghubungi mereka untuk menuntut hadiah yang anda menangi... nasihat aku usah layan, bukannya anda akan dapat duit tapi sebaliknya anda akan berhabis duit...

Satu lagi contoh email anda boleh lihat di bawah ini.... aku tak nak layan email seperti ini...




Di bawah ini satu lagi


Yang pastinya aku tak nak layan... aku dah bosan terima email seperti ini setiap hari..

Wednesday, March 31, 2010

Mengenang Pahlawan Melayu

Sudah agak lama aku tak buat sebarang post dalam blog ini, bukan di sebabkan kekurangan idea tapi bulan ini agak sibuk sedikit, aku baru saja menghadiri Kursus Pengurusan Pentadbiran yang diadakan di Sutera Beach Resort, Merang Setiu Terengganu dan sekarang ni pula sedang merancang untuk pergi memancing di Tasik Kenyir pada 30 April hingga 2 Mei nanti bersama-sama rakan sekampung..

Dalam kesibukan diri dengan tugas-tugas pejabat aku masih sempat meluangkan masa membaca sebuah novel sejarah perjuangan pahlawan melayu yang dihasilkan oleh Abdul Latip Talib. Bagi aku ianya sebuah novel sejarah yang cukup menarik, kisah perjuangan Mat Kilau dan orang-orang melayu dahulu menentang penjajahan. Sebut tentang Mat Kilau pada tahun 2005 dan 2007 aku pernah menyertai ekspedisi Jejak warisan Mat Kilau. Aku amat berminat untuk mengkaji kisah hidupnya kerana ia hidup dalam dua zaman, zaman sebelum merdeka dan zaman selepas merdeka. Bayangkan bagaimana perasaan diri beliau yang berjuang bermati-matian dengan titisan darah mempertahankan bumi ini dari penjajahan dan akhirnya dapat merasa nikmat hidup dalam erti merdeka...... Bagaimana perasaan diri anda..? Hargailah kemerdekaan ini..

Wednesday, March 10, 2010

Cuti Rehat.. bukan cuti berehat

Selama dua hari aku mengambil cuti, sewaktu menyerahkan borang cuti, bos bertanya kemana aku akan bercuti, aku memaklumkan bahawa aku hanya ingin melawat dan menebas semak samun di kebun getah, dah agak lama aku tak ke sana. Ada orang yang bercuti untuk melepaskan tekanan ditempat kerja dengan melawat tempat tempat menarik seperti ke pulau-pulau atau tempat peranginan diseluruh Malaysia atau bagi yang berkemampuan akan ke luar negara. Bagi aku cukup sekadar untuk melepaskan tekanan dikebun getah, ya ianya merupakan aset untuk aku diwaktu pencen nanti....

Disini aku merasa cukup tenang, lari dari rutin harian ku bukan bermakna lari dari tanggungjawab ku. Boleh dikatakan aku membesar disini, diwaktu kecil dahulu aku pernah datang bersama emak dan ayah, melihat kegigihan emak dan ayah menoreh getah untuk menanggung kami adik beradik ke sekolah... kini ayah dan emak sudah tua dan sudah tidak segagah dulu lagi untuk menyambung bakti dikebun ini. Biar kami adik beradik sahaja yang meneruskan bakti pada kebun ini.

Segalanya sudah cukup banyak berubah, kalau dahulu untuk pergi ke kebun getah kami terpaksa berjalan kaki selama hampir tiga puluh minit dan berakit menyeberangi sungai tapi kini kemudahan jalan sudah tersedia, boleh berkereta sehingga ke kebun.. dikiri kanan semuanya sudah ditanam dengan pokok kelapa sawit hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih mengekalkan tanaman getah.

Sunday, February 21, 2010

Tulis dan terus menulis

Masih teringat lagi beberapa tahun yang lalu sewaktu menghadiri bengkel penulisan novel, aku telah bertanya kepada saudara Ali Jusoh seorang novelis Terengganu bagaimana untuk menjadi seorang penulis yang baik,

"tulis dan terus menulis, tulis apa sahaja yang terlintas difikiran, sentiasa bawa nota dan pen, idea datang tidak bertempat"

Pertemuan sewaktu beliau mengadakan bengkel penulisan novel. Tidak terllintas dihati ini untuk menjadi seorang penulis novel hanya sekadar memenuhi undangan seorang sahabat dan sekadar mendapat sedikit pengetahuan dan pengalaman tentang bagaimana seorang novelis itu menghasilkan sebuah karya. Lebih kurang lima minggu aku menyertai bengkel ini yang diadakan pada setiap hari Sabtu. Pada awalnya memang ramai peserta yang hadir lama-kelamaan makin berkurang, agaknya mereka ini dah tiada kesanggupan dan idea untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh saudara Ali Jusoh termasuklah aku sekali yang tinggal hanyalah beberapa orang remaja yang begitu bersemangat

Tapi bila dah ada blog ni rugilah rasanya kalau aku tidak mengamalkan apa yang telah dikatakan oleh beliau dan betapa rugi aku tidak meneruskan hingga tamat bengkel itu. Menulis apa yang terlintas difikiran dan berkongsi-kongsi pengalaman.

Saturday, February 20, 2010

blog.. oh..blog... Fokus kah aku dalam menulis blog

Memang sah dah lama aku tak update blog ni dengan sebarang post. Blog ni mula diregister pada 2008 entah mengapa aku tak post sebarang cerita atau kongsikan apa sahaja kat sini dan sekarang 2010 hampir 2 tahun blog ni terbiar begitu saja dan baru sekarang aku teringat untuk update blog ni. Sebenarnya mungkin aku hilang tumpuan maklum saja sibuk yang tak seberapa sibuk atau sibuk yang sengaja dibuat sibuk atau mungkin juga aku hilang fokus. Sebut bab fokus ni, aku rasa memang aku ni jenis yang tak berapa fokus pada satu satu benda, ni nampaknya kena masuk kursus motivasi ni. Kadang kadang tu tengok keyboard pun dah rasa jemu, hari-hari ngadap keyboard. Almaklum sahajalah kerja aku ni hari-hari kena menaip surat itulah surat inilah. Yang pastinya aku rasa aku kekeringan idea sebab itulah selama 2 tahun blog aku tanpa sebarang post........

Tengah hari tadi aku didatangi oleh seorang sahabat yang minta aku tolong taip surat mohon sumbangan dari YB untuk mengadakan futsal, nampaknya kena ngadap keyboard lagilah. Dalam pada itu sempat juga dia promosi kat aku supaya beli selipar yang dijualnya. Untuk hendak menjaga hati seorang sahabat aku belilah 2 pasang. Aku tanya dia tentang kerja dia yang terdahulu dan kata sahabat aku ni dia hendak fokus pada bidang yang dia buat sekarang... hmmmm.. nampaknya semua orang dah fokus, jadi aku pun kena tetapkan matlamat dan fokus juga...... dan keyboard akan menjadi sahabatku.

Thursday, February 18, 2010

Nilai seorang sahabat

Saya tak pasti sejauh mana anda mengenali sahabat anda dan serapat mana anda bersahabat. sahabat waktu berduka dan waktu bergembira, cuma apa yang hendak saya kongsikan disini tentang kisah persahabatan saya. Saya bersahabat semenjak dari kecil lagi tapi hendak dijadikan cerita

suatu hari saya telah menyerahkan sejumlah wang pada sahabat saya untuk memperbaharui cukai jalan kereta saya... tempohnya hampir seminggu lagi tamat, bukan tidak boleh saya urus sendiri tapi kerana dah memang saya tahu sahabat saya ini memang kerja dia macam tu (jurujual kereta)lagi pun saya tidak mahu ambil cuti.. geran kereta saya ni berada di Maybank Kuala Terengganu. Jadi apa salahnya bagi kerja sikit pada sahabat ni. dah banyak tahun saya suruh dia yang memperbaharui cukai jalan kereta saya... adalah komisen saya bagi kat dia, saya bagi peluang dia kerja dan dapat upah. Hari demi hari saya tunggu cukai jalan tak juga sampai, bila tanya dia macam-macam alasan yang diberi. Hampir seminggu saya bawa kereta tanpa cukai jalan... nasib baik tak kena saman. Saya sedar telah ditipu tapi hendak dapat balik duit dari dia memang susah. Akhirnya saya ambil cuti dan urus sendiri. Saya telah menghabiskan banyak duit dalam soal ini, pertamanya saya terpaksa meyediakan duit untuk bayaran cukai jalan dan kedua terpaksa menyewa kereta untuk ke Kuala Terengganu. Selesai sahaja urusan memperbaharui cukai jalan saya telah menghantar mesej kepada sahabat saya ini bertanyakan tentang cukai jalan, sahabat saya ini membalas mesej yang mengandungi ayat kasar.. tersentak saya, ok saya kata pada dia bila sampai rumah petang nanti kita selesai.. Petang tu saya pergi rumah dia, bertanyakan tentang masalah tapi dia masih lagi beralasan.

Akhirnya saya kata pada dia
"apa salahnya kalau kau cakap maaf, aku telah terguna atau terpakai duit tu dan tidak dapat menganti dalam masa terdekat ini, Anggaplah aku berhutang dengan engkau, ini tidak engkau tetap beri alasan dan tipu aku. Apalah sangat nilai persahabatan ini kalau nak dibandingkan dengan duit RM500.00 tu.

Sehingga ke hari ini pun dia masih belum memulangkan duit itu pada saya dan saya tidak akan menuntut duit itu dari dia cuma saya berpesan pada dia kalau dia ada duit bayarlah tapi aku tidak akan tagih hutang tu.. Bukan saya tak pernah berhutang dan saya pasti dikalangan kita semua pernah berhutang. Beza berhutang dengan rakan dan ditipu oleh rakan adalah lain. Jadi saya tidak mahu terasa diri ini ditipu oleh rakan jadi saya anggap dia telah berhutang dengan saya...

Tuesday, February 16, 2010

Kisah Sikucing Dan Pencabulan Hak Peribadi

Saya cuma nak bercerita sedikit tentang hidup berjiran ni yang menyebabkan saya merasa cukup marah, terkilan pada seorang jiran yang mana dengan sewenang-wenangnya telah membuang kucing kepunyaan saya dan merupakan kesayangan anak saya yang berumur 3 tahun. Adakah patut dia pergi buang kucing saya tanpa pengetahuan saya.

Alkisahnya berlaku bila kucing jantan saya ni nak mengatal tergoda dengan kecantikan kucing betina kepunyaan dia, jadi hari-harilah si jantan ni menunggu si betina di rumah jiran ni. Almaklumlah saja bila sebut kucing jantan banyak lah tempat dikencingnya, memang dah tabiat spesis dia macam tu. Yang si jantan ni pulak takut si betina ni dirampas oleh jantan lain terpaksalah kencing banyak tempat sebagai menandakan bahawa kawasan itu adalah hak mutlak kepunyaannya. Kucing ni pulak satu, bila kat rumah sendiri punya lah baik, ibarat kata orang pijak semut pun tak mati. Tunggu punya tunggu tak juga juga si kucing ni balik.. Akhirnya dapatlah saya tahu dari budak yang berkerja dibengkel motosikal itu pun dua minggu selepas kucing saya hilang...terasa hak peribadi saya telah dicabul oleh jiran ni

Cerita pasal ayam pula satu hal lagi, ada lah dua tiga ekor ayam saya ni balik dengan kaki tempang, dengar-dengar cerita kena lastik pasal berkokok ditepi rumah jiran ni. Saya dapat tahu dari isteri katanya ayam saya ni menganggu anak dia nak tidur....













Gambar sekadar hiasan dan tiada kena mengena dengan cerita