Sunday, November 23, 2008

Laluan Tasik Kenyir - Kg. Gusai, Hulu Tembeling

Hasil dari kejayaan XPDC Jejak Mat kilau 2005 Tn. Hj. Mohd Zaharani Omar sekali lagi menjemput aku menyertai program XPDC keduanya iaitu mengikut laluan yang lain (laluan Tasik Kenyir - Kuala Tahan). Laluan ini juga pernah digunakan oleh pahlawan terbilang Mat Kilau. Seperti biasa aku ditugaskan merakam aktiviti menggunakan kamera dan handycam dan satu lagi tugas ialah menyelaraskan menu masakan harian peserta XPDC. Segala urusan awal program telah diuruskan oleh Tn. Hj. Mohd Zaharani selaku ketua xpdc. XPDC kali ini telah mendapat kerjasama daripada PERHILITAN, KETENGAH, JHEOA KEKWA TOURISM MALAYSIA dan TERENGGANU FM serta dinaungi oleh YAB Dato' Seri Idris b. Jusoh Menteri Besar Terengganu waktu itu.
Peserta terdiri daripada 21 orang pelajar SMKA Wataniah Besut, 6 orang wakil daripada Majlis Belia Daerah Besut, 3 Renjer PERHILITAN Terengganu, 1 orang Pegawai perubatan, 2 orang jurupandu arah orang asli dan 3 orang guru pengiring termasuk aku sendiri. Sepanjang pengetahuan kami laluan ini adalah merupakan laluan yang sukar dan hanya digunakan oleh orang asli dan pencari kayu gaharu sahaja.

24 MEI 2007 (KHAMIS- Hari 1)
Jam 11.00 pagi pelancaran peringkat sekolah telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Nawi B. Mohamad ADUN Hulu Besut merangkap Pengerusi PIBG SMKA Wataniah. Jam 12.30 petang peserta bertolak ke Tasik Kenyir dengan menaiki bas sekolah dan sampai lebih kurang jam 2.30 petang di Tasik Kenyir.
Sementara menunggu Ketua XPDC aku mengarahkan semua peserta menyiapkan khemah kerana malam ini kami akan bermalam di Tasik Kenyir. Ketika inilah kamera aku jatuh terhempas di atas jalan, nasib baiklah tiada sebarang kerosakan berlaku. malam itu para peserta diperkenalkan dengan 3 orang renjer PERHILITAN dan 2 orang jurupandu arah asli yang akan mengiringi kami nanti. Taklimat disampaikan kepada para peserta berkaitan dengan xpdc termasuklah persediaan mental dan setiap peralatan logistik disemak semula. Renjer PERHILITAN telah membawa selaras 'shortgun' bagi mengawal peserta xpdc daripada serangan binatang buas. Untuk memudahkan perhubungan dengan pihak luar sebuah telefon satelit disewa khas dari Kuala lumpur. Terengganu FM telah memberi laluan khas kepada ketua xpdc untuk membuat laporan secara lintas langsung setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga jam 9.00 pagi.

25 MEI 2007 (JUMAAT - Hari 2)
11.15 Pagi, pelancaran XPDC telah disempurnakan oleh YB Dato' Din B. Adam EXCO Kebudayaan, Belia Dan Sukan dan Badan NGO Terengganu.









Jam 12.30 petang peserta bertolak menaiki bot laju yang disediakan oleh KETENGAH menuju ke Kuala Sungai Terenggan. Di dasar tasik yang kami lalui ini mungkin merupakan sebahagian daripada laluan pejuang tersohor Mat Kilau. Jam 2.00 petang selepas kami makan tengah hari kami mula meredah hutan Sungai Terengganu. Aku ditugaskan dibahagian belakang memantau pergerakan peserta. Destinasi kami pada hari ini adalah Sungai Pering kami perlu sampai ke situ sebelum senja. Laluan kami agak sukar kerana tiada trek laluan manusia sebahagian tempat jurupandu terpaksa mencantas anak-anak pokok dan sebahagian lagi kami melalui lorong laluan binatang. Setelah 2 jam meredah hutan kami bertemu kembali dengan Sungai Terenggan di mana tempat kami mula-mula memulakan perjalanan tadi. Pokok yang ditanda sebagai pengenalan menunjukkan bahawa kami harus bermula semula. Masa 2 jam berlalu begitu sahaja. Aku bersithgfar di dalam hati, sepanjang aku meredah hutan belum pernah perkara seperti ini terjadi. Selepas mengadakan perbincangan dengan jurupandu dan renjer PERHILITAN kali ini peta dan kompas satelit digunaakan digunakan. Semua peserta reda dan mengambil pengajaran dari peristiwa itu. Perjalanan terpaksa diteruskan. Jam 5.30 petang kami diarahkan berhenti dan gagal tiba di Sungai Pering mengikut rancangan. Malam itu kami bermalam di Sungai Terenggan. Selepas siap memasang khemah aku mengarahkan beberapa orang peserta yang disenaraikan dalam tugasan memasak pada hari pertama membantu aku dalam menyiapkan makanan. Semua peserta tidur seawal jam 9.00 malam.

26 MEI 2007 (SABTU - Hari 3)
Selepas sarapan aku merakamkan beberapa keping gambar menggunakan kamera SLR dan handaycam। 8.30 pagi cabaran seterusnya adalah Sungai Pering, situasi hari ini amat berbeza kali ini kami terpaksa menyusuri Sungai Pering yang berbatu batan licin. Perjalanan terpaksa diperlahankan bagi menjaga keselamatan diri. Hari ini kekuatan mental dan fizikal peserta benar-benar teruji kerana terpaksa menyeberang Sungai Pering sebanyak 33 kali bagi mengelakkan peserta berjalan di atas bukit yang jarak perjalanannya lebih jauh. Jam 6.30 petang kami tiba di tempat perkhemahan di hulu Sungai Pering yang sempit. Kebanyakan peserta telah siap memang hammock di atas pokok yang dibuat secara bertingkat"double decker" agar jarak antara peserta tidak terlalu jauh antara satu sama lain bagi menjamin keselamatan. Selepas makan malam hujan turun dengan lebatnya hampir setengah jam.




27 Mei 2007 ( AHAD - Hari 4)

Jam 8.30 pagi, Ketua XPDC (Tn. Hj. Mohd Zaharan Omar) menghubungi Terengganu FM memberi laporan melalui telefon satelit. Perjalanan pada hari ini adalah yang paling mencbar "trekking" terpaksa dilakukan di atas permatang bukit kerana paras air Sungai Pering naik disebabkan hujan semalaman. Kesempatan meredah permatang bukit memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan hutan dara yang belum terusik dek arus pembangunan. Menjelang tengahari kami bertemu Sungai Kenering, hari ini kami hanya menjadikan biskut dan buah kurma sebagai alas perut, ini disebabkan kami tidak berkesempatan untuk berhenti lama. Perjalanan sepanjang Sungai Kenering meninggalkan kenangan yang cukup berbeza, peserta menyusuri sungai sepanjang perjalanan dan beberapa jam berjalan di lurah bukit bukau yang berbatu. Jam 1.30 petang peserta sampai di penghujung Sungai Kenering. Cabaran di hadapan adalah Bukit Cik Hassan, Bukit yang memisahkan sempadan Terengganu dan Pahang. Selepas hampir 3 jam mendaki kami tiba di puncak jam 4.30 petang. Disini terdapat batu sempadan yang tertera tulisan 'Pahang dan Terengganu'. Peserta kemudian menyusuri sebuah anak sungai yang tidak diketahui nama sama ada oleh renjer PERHILITAN atau pun Jurupandu arah orang asli yang akhirnya kami menamakannya "Sungai Tak Bernama". Disini kami tidur di atas "hammock" kerana tidak mempunyai sebarang tebing yang berpasir. Mengikut catatan perjalanan pada hari ini bermula dari Sungai Kenering, Sungai Pering dan Sungai Tak Bernama peserta telah menyeberang sungai sebanyak 63 kali.


28 Mei 2007 (Isnin hari ke 5)
Jam 8.30 pagi memulakan perjalanan menyusuri 'Sungai Tak Bernama' sehingga jam 11.30 pagi dimana akhirnya sungai ini bertemu dengan Sungai Kenering (Bukan Sungai Kenering di Taman Negara Terengganu). Jam 2.00 petang kami berhenti rehat untuk makan tengahari di Kuala Sungai Kenering yang bertemu dengan Sungai Reh. Kami meneruskan perjalanan sehingga jam 5.00 petang dan kami mengambil mengambil keputusan untuk bermalam di tebing Sungai Reh. Pada petang itu seorang peserta/pelajar menghampiri aku dan menyatakan rasa seakan hendak demam dan pening kepala, selepas memberi ubat dan mengurut bahu aku meminta pelajar itu berehat. Tidak aku nafikan kalau ada setengah-setengah peserta kekejangan urat kerana perjalanan hari ini betul betul memenatkan. Disesetengah tempat kami terpaksa menyeberangi sungai menggunakan tali kerana arus sungai yang deras dan disetengah tempat kami terpaksa menjunjung beg galas. Mengikut catatan hari ini kami telah menyeberangi sungai Kenering dan Sungai Reh sebanyak 67 kali.


29 Mei 2007 (Selasa hari ke 6)
Jam 8.30 pagi ketua XPDC Tn. Hj. Mohd Zaharani Omar menghubungi Terengganu FM untuk memberi laporan secara lintas langsung tetapi gagal kerana tapak perkhemahan dilindungi kanopi pokok yang menghalang isyarat satelit. Perjalanan hari ini banyak melalui permatang bukit kerana faktor air sungai yang dalam disebabkan oleh hujan lebat semalaman. Hari ini kami meninggalkan Sungai Reh dan bertemu dengan Sungai Sepia yang bersambung dengan Sungai Hulu Tembeling yang bakal kami temui di Kampong Gusai. Saya terpegun dengan keindahan pemandangan di sepanjang Sungai Sepia. Pada pengamatan saya Sungai ini merupakan sungai yangn tercantik berbanding sungai sungai yang telah kami laluisebelum ini. Jam 6.30 petang kami mengambil keputusan bermalam di tebing Sungai Sepia yang indah ini.


30 Mei 2007 (Rabu hari ke7)

semua peserta menyanyikan lagu Negaraku dan Zikir Asma Al-Husna sebelum memulakan perjalanan jam 8.30 pagi. Perjalanan begitu jauh bagaikan tiada kesudahan. Beberapa orang peserta mula demam dan sakit. Jam 6.00 petang kedengaran enjin bot menyusuri Sungai Sepia. Semua peserta menampakkan kegembiraan kerana menandakan kami telah sampai ke destinasi terakhir kami iaitu Kampung Gusai. Jam 6.15 petang semua peserta selamat keluar dari Taman Negara Pahang. Ketibaan kami disambut mesra oleh penduduk kampung yangg telah melihat pelancaran ekspedisi di Tasik Kenyir melalui Berita di TV1 pada 25 Mei 2007 yang lalu.

*catatan..

Kampung Gusai merupakan salah satu perkampungan tradisional yang terletak di Hulu Tembeling. Penduduknya lebih kurang 300 orang dan perhubungan luar hanya menggunakan bot. Perkerjaan utama penduduk disini ialah menoreh getah, mencari kayu gaharu serta menangkap ikan. Terdapat sebuah sekolah dengan bilangan murid seramai 38 orang.


31 Mei 2007 (Khamis, hari ke 8)

Peserta tinggal di Kampung Gusai selama dua malam. Di sini pelbagai aktiviti dilakukan seperti program ramah mesra, membaca Yaasin, solat hajat dan tahlil. Peserta ekspedisi diberi penghormatan mengetuai solat jemaah di masjid. Selain itu program motivasi kepada murid-murid sekolah Kampung Gusai dan Ibubapa mereka diberikan oleh ketua ekspedisi. Sebelah petang, perlawanan persahabatan bola sepak dan sepal takraw diadakan diantara peserta ekspedisi dengan pemuda-pemuda Kampung Gusai.


1 Jun 2007 (Jumaat, hari ke 9)

Jam 8.30 pagi peserta dibawa dengan sembilan buah bot ke Kampung bantal. Jam 9.30 pagi kami tiba di Kampung Bantal untuk menukar kepada dua buah bot yang lebih besar. Jam 1.30 petang kami sampai di Kuala Tahan. Peserta telah melapor diri di Ibu Pejabat Taman Negara Kuala Tahan bagi mengakhiri episod ekspedisi. Majlis penyampaian sijil kepada peserta telah disampaikan oleh Penguasa Taman Negara..

Jam 6.00 petang peserta bersiap sedia untuk bertolak pulang....



Tuesday, October 28, 2008

PUTUS HUBUNGAN

Sudah banyak hari aku tidak dapat melayari internet, dah bertimbun email yang tak dapat aku baca. Semua ini kerana gara-gara sipencuri kabel telefon. Ini merupakan kali kedua perkara ini berlaku yang pertama dahulu ketiak di bulan puasa hampir seminggu aku tidak dapat menjengok aku punya blog, kali ini dua minggu pulak. Aku berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi

Wednesday, October 15, 2008

Aku memang seorang kaki pancing pantang dengar tempat-tempat menarik untuk memancing pasti aku akan pergi tak kisah lah kemana pun asalkan cukup dengan budget. Ni aku nak cerita tentang aku pergi memancing di Sungai ketiar baru-baru ni. Sungai Ketiar ni terletak dalam negeri Terengganu dekat dengan sempadan Gua Musang, Kelantan.
Pemandangan di sini cukup menarik terutamanya pada waktu pagi. Aku juga suka mengambil gambar-gambar pemandangan. Bumi ini ciptaan tuhan memang indah. Kita sebagai makhluk Allah dan dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini kena lah menghormati dan menjaga keindahan di muka bumi ini.

Adakah kamu suka meneroka hutan hutan dara atau Hutan Simpan Atau Taman Negara?.. Aku nak bagi tahu kamu satu laluan yang cukup menarik bagi kamu.. Laluan Sungai Terenggan, Tasik kenyir ke Hulu Tembeling Laluannya cukup mencabar dan pemandangan alam semulajadi yang cukup menarik.. nanti aku cerita lain kali . aku pernah pergi tahun lepas nanti aku tunjuk gambar nya sekali

XPDC Jejak Mat Kilau (Pasir Raja, Hulu Dungun - Kuala Tahan, Taman Negara Pahang0

Aku cuma nak cerita tentang XPDC yang telah lama aku buat, saja nak kongsi cerita dengan anda semua. Tentang XPDC Jejak Mat Kilau yang aku lakukan pada tahun 2005. XPDC ini aku lakukan kerana mengiringi sekumpulan pelajar SMKA Wataniah Besut Terengganu. Kami bertolak dari sekolah jam 9.30 pagi dan sampai di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun pada jam 2.30 petang.
Jam 3.30 petang kami dibawa meredah hutan dengan pacuan 4 roda melalui jalan balak, memandangkan hanya sebuah pacuan 4 roda yang ada dan perjalanan pula mengambil masa 1 jam kami dipecahkan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama samapai ke Lubuk Kundang jam 4.30 petang. Sesampai sahaja di Lubuk kundang kami menyiapkan khemah dan memasang dua utas pukat. jadi malam itu kami makan nasi berlaukkan ikan kelah dan tengas dari Lubuk kundang.

28.4.2008
Pagi ini kami berkemas dan destinasi kami seterusnya adalah untuk bermalam di Sungai Luruk. Kami bertolak jam 8.00 pagi, jurupandu arah kami iaitu Pak Him dan Pok Tar memberikan sedikit taklimat tentang keadaan trek laluan yang kan kami lalui nanti. kami di maklumkan bahawa perjalanan akan berlarutan sehingga waktu maghrib, kami akan merentas banjaran yang memisahkan negeri Terengganu dan kelantan dengan pendakian antara 40 - 70 darjah. Bekalan air terpaksa kami jimatkan kerana sepanjang laluan kami tiada punca air yang ditemui.
Perjalanan memang sukar kerana kami terpaksa meredah semak samun kerana laluan ini tidak pernah dilalui orang. Pacat memang banyak dan kami membiarkan sahaja menghisap darah kami semahu-mahunya. Jam 2.00 petang kami tiba di gunung Main Angin dan kami hanya memasak maggi sahaj sebagai alas perut memandangkan kami perlu cepat tiba ke destinasi sebelum hari senja. Perjalanan turun juga amat memenatkan dengan kecuraman antara 40 - 70 darjah.
Jam 4.30 petang kami tiba di sungai kemala, sebatang sungai yang cetek, airnya mengalir deras tetapi jernih sejernih mutiara. Jelaslah disini tiada berlaku sebarang pencemaran dan pembalakan. Apa yang menarik perhatian aku ialah apabila aku membuka kasut dan membasuh stokin, anak-anak ikan dan anak-anak udang datang menghampiri stokin, mungkin tertarikan dengan aroma yang dikeluarkan oleh stokon aku. Juru pandu arah kami mengarahkan kami cepat beredar untuk ke Kuala Luruk kerana katanya tempat ini tidak sesuai berkhemah atas sebab-sebab keselamatan. "Salah satu petua berkhemah didalam hutan ialah mendirikan khemah di atas tanah yang lapang bagi mengelakkan serangan binatang buas".
Jam 5.00 petang kami meneruskan perjalanan menyusuri sungai Cher selama 2 jam, kejernihan air sukar digambarkan. Kami dapat melihat dengan jelas ikan-ikan kelah yang bergerak kesana kemari. Aku merasakan seperti mimpi semuanya seperti didalam dokumentari National Geographic. sepanjang menyusuri tebing Sungai Cher yang berbatu-batan licin , terdapat banyak sekali tapak harimau yang ditemui kebanyakkannya bersaiz tapak tangan orang dewasa.
Jam 7.00 petang kami tiba di Kuala sungai cher. Sungai ini bertemu dengan Sungai Luruk, tempatnya memang cantik memang sesuai untuk kami bermalam. Malam itu aku mengambil kesempatan untuk memukat dan menyelam. Wow!!! banyaknya ikan kelah dan tengas disini, pastinya tempat ini belum diusik orang. Banyak juga kelah yang aku dapat semua lebih kurang sebesar labu lengan. Malamnya kami menyalakan unggun api yang besar bagi mengelakkan harimau dan gajah berkunjung ke kawasan khemah kami.

29.4.2005
Pagi itu aku menyiapkan ikan kelah dan tengas pekasam untuk dibawa balik, banyak juga tiga plastik semuanya. jam 9.00 pagi kami berjalan menyusuri Sungai luruk dan tiba di Kuala SungaiLuruk jam 2.00 petang. Nyatalah kepada kami bahawa kami telah berada di dalam negeri Pahang kerana Sungai Luruk ini bertemu dengan Sungai Tembeling.
7 buah bot berkuasa kuda 40 setiap satu sudah siap menanti kami, kami dimaklumkan bahawa mereka telah sampai dua hari yang lalu setelah setengah hari menyusuri Sungai Tembeling dari Kampung Bantal. Setelah makan tengahhari jam 3.00 petang kami bertolak menuju ke kampung Bantal melalui sungai Tembeling, setiap bot boleh membawa 8 orang penumpang tetapi kerana air sungai yang cetek maka bot hanya membawa 3 orang sahaja.
Jam 6.00 ptg kami tiba di Kampung Bantal, sebuah perkampungan tradisional. Malam itu kami berkhemah di tebing sungai tembeling berhampiran Kampung Bantal. Penduduk disini lebih kurang 1000 orang, bayangkan perhubungan dengan dunia luar yang sukar disini. Tiada jalanraya, jalan utama hanyalah sungai, bot dan sampan menjadi kenderaan utama disini. Ini mengingatkan aku tentang kegigihan pahlawan dahulu seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato' Bahaman dalam berjuang membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah.

30.4.2005
Jam 10.00 pagi kami bertolak dari Kg. Bantal menuju ke Taman Negara Kuala tahan. Setelah 3 jam berada dalam bot kami sampai di Kuala Tahan jam 1.00 petang. Terlalu ramai pelancong disini, aku telah beberapa kali sampai disini tapi kali ini jumlah pelancong memang ramai berbanding tahun-tahun lalu. Malam itu kami bermalam di Asrama SK Kuala Tahan

1.5.2005
Untuk memenuhi jadual kami, jam 8.00 pagi kami berjalan menuju ke canopy walkway yang terletak kira-kira 45 minit berjalan dari Pejabat Taman Negara. Kami membatal hasrat untuk menaiki canopy disebabkan pengunjung yang terlalu ramai. Jam 1.00 petang kami bertolak balik ke Terengganu.
2006 Jejak Mat Kilau Edisi 2
Laluan Tasik Kenyir - Kg. Gusai, Hulu Tembeling - Taman Negara Kuala Tahan

Tuesday, October 14, 2008

Bisanya Patukan Ular

Hari sabtu 12 oktober. Aku teringin sangat untuk menangkap ikan dibendang, apa lagi petang itu aku terus ke bendang bersama anak-anak. Ikan yang ditangkap hampir setengah guni beras 10 kilo. lebih kurang jam 6.00 petang sedang aku asyik menangkap ikan aku tertangkap seekor ular kapak air, saiznya tidaklah besar sangat. ular itu terus mematuk tangan aku tetapi disebabkan kepalanya telah aku tangkap patukkannya tidak tepat dan ular itu hanya mengoreskan giginya ditelapak tangan. Bisanya bolehlah tahan. Andai kata ular itu mampu menusukkan bisa nya kedalam tubuhku aku tak tahu bagaimana keadaan aku selepas itu. Aku cepat-cepat ke hospital semalaman aku di tahan di dalam Wad

Thursday, October 9, 2008


Sungai Ketiar terletak dalam negeri Terengganu dalam kawasan Tasik Kenyir. Bagi Kaki Pancing ini merupakan tempat terbaik untuk memancing. Terletak diantara jalanraya yang menghubungkan Pengkalan Gawi Tasik Kenyir dan Felda Aring, Gua Musang Kelantan. Saya sarankan anda bawa bot fiber sendiri bagi kepuasan untuk memancing. Antara ikan ialah toman, sebarau, kelah dan lain-lain. Umpan saya sarankan anda buat ubat dari bahan makanan ikan yang boleh didapati di kedai yang menjual peralatan memancing.

Sungai Ketiar





kerana bosan memancing ikan tak dapat aku membawa kawan-kawan melihat gajah di santuari Gajah Sungai Ketiar. Tempat nya tidak lah jauh dari tempat kami berkhemah dan memancing kira-kira 600 meter je. Terletak di tepi jalan anta Pengkalan Gawi ke Felda Aring Gua Musang. Anda dapat melihat dan juga naik gajah ini kalau anda berani cuba lah rasa pengalaman tunggang gajah. Ada 2 ekor semuanya yang jantan namanya Chalil dan yang betina namanya Suria. Lepas tengok dan tunggang tu apa salah nya kalau anda menderma untuk tabung makanan gajah.